Wednesday, November 2, 2011

Masih Ramai Belum Berdaftar Dengan SPR

Masih ramai lagi yang belum berdaftar dengan SPR sebagai pemilih / pengundi bagi PRU yang akan datang. Dianggarkan jumlahnya melebihi  3.9 juta orang bagi yang berumur 21 tahun ke atas. Ini merupakan satu jumlah yang besar. Dibahu mereka ini terletaknya kuasa undi dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Persoalannya, tiap tiap tahun SPR kena mengeluarkan belanja membuat iklan di media elektronik, mahupun media cetak untuk member kesedaran kepada rakyat Malaysia betapa penting dan perlunya mereka mendaftar agar membolehkan mereka untuk mengundi bila menjelang pilihanraya. Kalau ibarat usaha bertahun tahun itu untuk mengajar seekor lembu, rasa rasanya lembu itu dah boleh bercakap hahaha..Tapi bukan untuk mendidik rakyat negara ini mempunyai kesedaran pada kuasa undi.

Macam macam alasan lah yang diberikan seperti tidak minat berpolitik, tak mahu campur tangan, tidak menyokong mana – mana parti..ini semua alasan – alasan yang kerap kita kedengaran. Alasan alasan dangkal untuk mengelakkan diri dari tanggungjawab selaku warga Negara. Sedangkan mereka – mereka ini lah juga yang kuat komplen, mintak itu ini dan serba serbinya yang tidak kena.
Pada aku, ada beberapa mekanisme yang mungkin Kerajaan boleh pertimbangkan untuk diguna pakai dalam perkara ini. 

·         Pendaftaran Automatik melalui JPN
Melalui Jabatan Pendaftaran Negara, bila umur mereka cukup jer 21 tahun dan layak, maka selaraskan jer dengan pihak SPR dan mereka terus dijadikan sebagai pemilih berdaftar. So, ini akan memudahkan lagi rakyat Malaysia yang malas malas tu untuk didaftarkan sebagai pengundi.

·         Item daftar sebagai Pemilih Berdaftar bersifat wajip ( compulsory )
Bagi mereka mereka yang memohon pekerjaan, atau mak bapak yang mohon biasiswa atau pinjaman pelajaran, yang mohon tanah, mohon beli rumah, beli kereta, pinjaman peribadi atau sebarang bentuk permohonan lah ( coz rakyat Malaysia ni kan suka mohon itu ini ), salah satu criteria yang diambil kira dalam resume diri ialah item : no siri daftar pemilih. Ini akan menjadikan mereka rajin untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih.

Aku rasa dengan 2 kaedah yang aku cadangkan itu, mungkin boleh dipertimbangkan dan secara langsung ia akan memudahkan usaha SPR serta dapat membuat langkah langkah penjimatan. Bila ia bersifat wajip, semua orang akan ambil langkah yang sama. Seperti contoh kad pengenalan, mana ada JPN buat iklan besar besaran untuk rakyat Malaysia membuat kad pengenalan. Begitu juga lessen dengan JPJ. Tak tahulah kalau SPR memang dah terfikir perkara ini tetapi tak mahu gunakan pasal takut peruntukkan dapat sikit coz dah tak perlu ada perbelanjaan untuk pengiklanan hehehe..

Dalam arus negara berpendapatan tinggi serta serba serbinya elektronik, usaha sebegini kecil mudah untuk dilakukan. Sama ada nak buat atau tidak, atau memang ada sebab sebab lain, tepuk dada tanya selera. Atau Ketua Audit Negara tak terfikir ke kaedah ni untuk advise kat SPR hahahaha…korang kan tukang audit dan lepas audit, berilah cara terbaik untuk penyelesaiannya.

Monday, October 31, 2011

Laporan Ketua Audit Negara


KUALA LUMPUR 30 Okt. - Laporan Ketua Audit Negara 2010 sepatutnya lebih bersifat komprehensif dengan menjelaskan secara terperinci bagaimana sesuatu perkara itu diklasifikasikan sebagai perbelanjaan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia penting bagi mengelakkan tanggapan negatif rakyat bahawa berlaku penyelewengan dan salah laku oleh pegawai atau kakitangan kementerian serta agensi dalam perbelanjaan yang dilaporkan.
"Sebagai contoh, Kementerian Pelajaran dikatakan berbelanja melebihi peruntukan sebenar bagi perbelanjaan pengurusan 2010. selanjutnya di sini.


DNA: Hari ni aku nak ulas pasal Laporan Ketua Audit Negara. Aku bukan nak ulas kenapa, bagaimana atau kerana apa ia begitu. Yang aku nak ulas ialah SIAPA yang menyediakan laporan tersebut. Ia mungkin berbunyi agak sinikal, tapi ini hakikat yang perlu ditelan atau diperhatikan oleh sesetengah pihak terutama JPA ataupun JAN sendiri.

Pertama, kebanyakkan Pegawai JAN bukan dalam bidang yang khusus bagi tujuan pengauditan. Percaya atau tidak, kebanyakkan anak buah atau lebih tepat lagi golongan pekerja kelas sokongan JAN mempunyai kelulusan atau pengkhususan yang jauh lebih baik daripada Pegawai atasan mereka. Kebanyakkan mereka – mereka ini mempunyai kelulusan dalam ACCA mahupun Sarjana Muda Perakauan. Tapi sayang, mereka hanya berada pada peringkat pelaksana, dan bukan pembuat keputusan. Ini menyebabkan kadar gunatenaga dan kepakaran tidak digunakan secara optimum.

Kedua, kebanyakkan Pegawai atasan atau dalam JAN disebut sebagai KSA merupakan Pegawai yang dilantik dari lulusan luar bidang perakauan. Ada yang dari Sains Sosial, Pengurusan malah Ekonomi yang mana ianya tak relevan langsung dengan skop sesebuah pengauditan. Orang yang belajar dalam Sains Sosial disuruh membuat pengauditan dalam spek jalan raya. Apalah sangat yang mereka tahu? Buta buta kena kencing dengan Jurutera malah Juruteknik yang grednya jauh lebih rendah pun boleh sama sama kencingkan KSA ni. Ambil lah mereka mereka yang memang berkelayakkan agar imej dan kualiti JAN tu selari dengan fungsi dan matlamatnya. Jangan sampai boleh diperlekehkan oleh orang luar terutama firma - firma yang mengunakan tenaga kerja pakar ataupun profesional dalam bidang perakauanan bagi agensi agensi tertentu.

Lebih mendukacitakan lagi, JAN selalu membuka ruang kenaikan pangkat bagi kakitangan sokongannya yang lama berkhidmat dan kemudian membuat degree sambil belajar. Ini satu dasar yang baik pada penilaian aku, namun ianya menjadi tidak baik apabila kenaikan itu diberi mengikut tempoh lamanya seseorang itu berkhidmat dan lulusan dalam bidang/jurusan yang bukan bukan. Salahkah jika ruang tersebut turut diberi kepada mereka mereka yang lebih relevan dan berkelayakan? Apa gunanya jika ada lulusan yang bersesuaian, tetapi ruang dan peluang tersebut tidak diberikan kepada mereka yang berhak? Kenapa perlu diserahkan hak – hak ini kepada segolongan mereka yang boleh dianggap sampah dalam JAN tersebut? Hasilnya memang akan mendukacitakan..Memang panel pemilihan temuduga akan lebih memihak kepada mereka – mereka yang lebih senior atau istilahnya orang lama kerana panel dan orang yang ditemuduga telah kenal jauh lebih lama berbanding budak – budak fresh graduate atau intake – intake baru ni.

Paling haru, bila ada antara panel penemuduga tidak tahu apa fungsi ACCA. Tak ke kelakar tu? Seorang juruaudit tidak mengetahui skop ruang ACCA? Nampak macam saya merepek repek, tetapi itu hakikat yang berlaku di dalam JAN. Hasilnya keluarlah komentar komentar sinis daripada kementerian – kementerian yang terbabit seperti yang diperkatakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran tersebut. Salah sebuah agensi yang teruk kena audit oleh JAN ialah LHDN. Aku tak heran lah pasal salah seorang Pegawai Kanan LHDN Ibu Pejabat tu tak tahu yang lulusan ACCA memang takder pointer ( CGPA ). Boleh dikatakannya yang ACCA orang lain ada CGPA. Hahahaha..kan ker banggang tu. Tunjukkan aku saper2 berbudak yang amik ACCA yang ada CGPA? Jadi setaraf lah lulusan ACCA ni dengan mana2 lulusan JTM atau ADTEC yang suatu ketika dulu Diploma mereka2 ni pun tiada CGPA. Ini lah antara contoh sampah sampah yang ada dalam pentadbiran agensi – agensi kerajaan hari ini. (ni kira selingan lah, coz aku nak citer pasal JAN bukan LHDN sgt pun )..

Kepada Tan Sri Ambrin Buang, saya seru pada Tan Sri, bukak lah ruang sebaik baiknya kepada staf2 Tan Sri yang berkelayakkan dan punya lulusan yang standing agar hasil output Jabatan Tan Sri akan lebih dihormati dan diakui kebenarannya. Cukup2 lah menggunakan khidmat sampah sarap ni. Saya pohon Tan Sri nilai dan lihat semula perkara ini. Walaupun kumpulan pelaksana JAN mempunyai qualification yang bagus, tetapi pemutus atau kata ahkirnya terletak pada orang – orang yang kurang bagus, maka fikir sendirilah hasilnya nanti. 

Kita menjaga amanah rakyat, even every single cent yang dibelanjakan, dan dibentangkan biarlah daripada orang – orang yang berkualiti. Duit merupakan perkara sensitif, dan sekiranya ia dibuat secara membabi buta dan terlepas pandang, siaplah kau nanti hahaha..Saya percaya,bukan mudah untuk handle laporan bagi sebuah negara dengan bermacam – macam benda nak dilihat, dan ia akan jadi jauh lebih sukar kalau ianya ditadbir urus oleh mereka – mereka yang kurang berkelayakan. Ambil teguran saya dengan lapang dada dan berfikiran positif. Saya tiada kepentingan malah saya bukan lulusan ACCA atau perakaunan pun, cuma sebagai salah seorang daripada penjawat awam, saya juga terasa apa bila ada orang pertikaikan kualiti dan hasil output agensi kerajaan.

Friday, October 7, 2011

Bajet 2012

Petang ini jam 4.00 petang, akan ramai lah yang terpacak depan tv, yang dalam kereta akan bukak radio dan bermacam macam lagi sumber akses yang ada asalkan pembentangan bajet dapat didengar sejelas - jelasnya. Kakitangan Awam dengan doa beribu ribu kali agar akan adanya kenaikan gaji dan dapat bonus lagi. Sementara kakitangan swasta pula dengan doa doa agar pengenalan gaji minimum yang diwar warkan akan jadi kenyataan.Lebih lebih lagi bila akhir akhir ini selalu aje DS Najib tekankan kepada transformasi untuk menanggani beban pendapatan kepada mereka mereka yang berpendapatan dibawah RM3,000 sebulan.

Harap ianya akan menjadi kenyataan.Rakyat tidak pedulu berapa banyak perbekanjaan yang akan diperuntukkan untuk pembangunan fizikal, mereka jika tidak peduli berapa tax yang akan dikenakan pada alkohol ataupun barangan berjenama, malah sekiranya hargo rokok naik sekali ganda lagi pun, mungkin majoriti rakyat Malaysia pun tidak akan merungut. Yang mereka mahu tahu, bagaimana mahu berbelanja setiap hari. Harga ikan, ayam, beras, petrol, diesel, susu anak, lampin pakai buang dan banyak lagi keperluan harian yang perlu ditanggani oleh Kerajaan atas dasar rakyat didahulukan.

Aku percaya malah optimis sekali, sekiranya barisan Kerajaan yang diketuai oleh DS Najib sekarang ini mampu untuk menanggani isu - isu ini, ia akan meredakan kemarahan rakyat, pihak pembangkang akan kematian idea dan paling penting jangka hayat BN dapat dipanjangkan dalam situasi PRU yang semakin hari semakin dekat bahangnya. Kalau dulu ia rasa suam suam kuku je bahangnya, kali ni dah makin perit terasa di kulit. Tandanya dah dekat sangatttt dah PRU tu.

Bajet yang baik kepada rakyat, akan mengurangkan isu kepada pembangkang. Bajet yang baik kepada rakyat, akan mengurangkan jumlah peluru kepada pembangkang. Bajet yang baik kepada rakyat, akan dibalas dengan memilih BN sekali lagi sebagai parti pemerintah kerana sudah jadi lumrah manusia, kebiasaanya buat baik akan dibalas baik. hehehe..meh la sama sama kita tunggu Bajet 2012 petang ini..





Thursday, September 1, 2011

AYUH MELAYU!!! CONTOHI CINA-CINA PETALING STREET!!!

Cerita panjang pun tak gunalah. Contoh yang ditunjukkan oleh Cina-Cina Jalan Sultan yang menentang cadangan kerajaan untuk merobohkan bangunan yang dikhabarkan sebagai Warisan Negara, seharusnya membuka mata orang Melayu yang selama ini TERLALU BANYAK BERKORBAN menyerahkan tanah-tanah milik mereka untuk dimajukan oleh kerajaan dan akhirnya mereka kehilangan hak ke atas tanah-tanah mereka sendiri sepertimana yang berlaku di Kampung Abdullah Hukum, Kampung Bukit Lanjan, mahupun Kampung Damansara yang sekarang ini sudah menjadi Damansara Utama serta Taman Tun Dr. Ismail! Selanjutnya di sini.


DNA: posting ni aku direct copy dari tuan punye blog. Highest credit untuk dia. Walaupun komentarnya pendek namun ia padat dengan resepi dan segala macam yang orang melayu kena fikir dan perhatikan. Jangan jadikan alasan kemajuan serta mendahulukan negara demi pembangunan hingga ahkirnya kita hilang segala - gala milik kita.

Sempena dengan semangat bulan kemerdekaan ini, kita ambil pendekatan yang lebih utuh dalam pertahankan hak milik kita orang melayu. Jangan mudah terpedaya dengan agenda - agenda yang mempesonakan yang mana ahkirnya nanti kita jadi bahan sumpahan keturunan yang akan datang. Kegagalan mempertahankan apa yang telah kita merdekakan selama ini hanya akan menyebabkan orang lain merayakannya lebih dari segala galanya.

MERDEKARAYA!

Wednesday, August 31, 2011

Merdeka! Merdeka! Merdeka!.

sumber: pakcik google
Salam Kemerdekaan. Salam Ulang Tahun Negara Malaysia yang tercinta bagi tahun ke 54. Menjelang kedewasaan negara yang semakin matang, begitu banyak kemajuan dan pencapaian yang telah dikecapi Cuma dalam tempoh yang sangat singkat. Jika diberi nisbah antara tempoh kemerdekaan dan tempoh sepanjang negara dijajah bermula dari tahun 1511, ia bagaikan langit dan bumi. 

Namun kita bersyukur kerana Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmatNya dengan mengurniakan tanahair ini dengan ramai pemimpin pemimpin yang bijak dan komited hingga membolehkan negara tercinta ini mengecapi kepantasan kemajuan teknologi dalam segala aspek dan bidang.

Bukan mudah mentadbir sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama. Sejarah serta fenomena dunia sentiasa membuktikan berlakunya rusuhan dan perang saudara serta yang tak bersaudara ekoran kepincangan dan kegagalan menanggani isu – isu yang berkaitan ketidak puasan hati penduduk majmuk. Malaysia terbukti ke depan dalam isu sebegini dan alhamdulillah hingga ke hari ini kita masih mampu hidup dengan aman sentosa dalam sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

Bersempena dengan Hari Kemerdekaan, dengan semangat sebuah negara yang berdaulat serta impak sambutan Hari Raya yang baru masuk hari kedua, marilah bersama – sama kita merayakan dua perayaan ini dengan semangat ukhuwah dan kekitaan yang tinggi. Kita tepis dan buang cuba cubaan subversif serta tindakan – tindakan yang cuba memesongkan sejarah negara. Kita jangan jadi pembelot kepada sebuah negara yang sekian lama telah menjadi tempat kita bernaung selama ini hingga kita mengecapi segala nikmat sebagai rakyat yang merdeka. Jangan seperti anjing yang dilepaskan dari tersepit yang mana kemudian menggigit kaki tuannya semula. Jika senario itu berlaku, paham – pahamlah yang diri itu cuma setaraf dengan seekor anjing je. Anjing tu haram beb hehehe..

Bersamalah kita jaga negara kita ini. Salam sayang bumi berdaulat. Merdeka! Merdeka! Merdeka!.

Saturday, August 27, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN


Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum Warahhmatullahi Wabarakatuh
Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillah hil Hamd...

Semua Rakan dan Sahabat handai..
Saya ingin merakamkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1432H / 2011. Semoga ketibaan Aidilfitri ini akan lebih bermakna kepada kita semua.

Dalam kemeriahan menyambut musim perayaan ini, kita juga panjangkan kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana kita semua dilahirkan di dalam sebuah negara yang aman damai hasil dari tradisi kebijaksanaan pimpinan sedia ada dan pimpinan yang akan datang, InsyaAllah.

Dalam usaha negara menjayakan transformasi dalam acuan 1Malaysia, saya juga mengambil kesempatan berpesan sesama kita agar mempertahankan segala apa milik kita dan tetap kekal bersama pimpinan YAB Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menjayakan misi dan visi Negara.

Kadang – kadang dalam ruang dan kesempitan berfikir, dalam kejumudan kita membuat keputusan, sering kita mengambil tindakan – tindakan yang boleh mendatangkan kerugian sama ada kepada diri sendiri, keluarga, bangsa, agama mahu pun negara. Justeru itu, semoga Nur dan Hidayah Allah akan melimpahi kita semua serta sentiasa di dalam lindungan-Nya.

Bagi yang akan menjalani perjalanan jauh, diharap berhati – hati ketika memandu. Semoga tuan / puan selamat pergi dan selamat kembali. Dengan kerendahan diri dan serba kekurangan, saya menyusun sepuluh jari, merakamkan ribuan ampun dan maaf atas segala kekhilafan diri selama ini. Tidak ada bumi yang tidak ditimpa hujan, tidak ada manusia yang tidak lari dari kesilapan. Semoga ketibaan Aidilfitri ini dapat menghapuskan segala dosa – dosa kita selama ini, InsyaAllah.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Maaf Zahir dan Batin dari saya dan keluarga.

Iklas Dari

-DNA-
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO
Bahagian Tg. Malim.

Friday, August 19, 2011

Hari Raya, Kerajaan dan Diskaun Tol

Kerajaan mengumumkan diskaun tol bagi pengguna lebuhraya pada 30 dan 31 Ogos ini sempena sambutan musim perayaan Aidil Fitri. Ia diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Shaziman Mansor. Ia merupakan satu langkah baik yang dilihat mampu mempopularkan kerajaan sedia ada di mata masyarakat Malaysia. Ia merupakan pendekatan kedua selepas terlebih dahulu Datuk Sei Najip mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji kepada para penjawat awam menjelang tibanya hari raya. Dapatlah rakyat meringankan sedikit beban kewangan untuk perbelanjaan dan persediaan tibanya perayaan tersebut. Sesuailah dengan moto 1Malaysia bahawa Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Persoalannya, tidak kerajaan terfikir bahawa pada tarikh tersebut majoriti rakyat terutama yang beragama Islam sudah pun pulang ke kampung halaman masing masing. Dalam erti kata lain mereka tidak dapat menikmati kemudahan yang dijalankan oleh kerajaan. Tidak adakah seorang pun pemikir yang celik idea atau pun terperasan perkara ini. Mustahil tidak ada bukan? Pasti ada dan saya juga pasti ianya telah disebut dan pohon diperhalusi. Namun kerajaan tetap dengan sifat kedunguannya yang tidak sensitif pada hal hal sedemikian. Ini kerana dengan jumlah penggunaan yang kurang pada tarikh tersebut, bermakna kuranglah juga nilai keseluruhan pemberian diskaun tersebut.

Kalau nak bagi, bagilah dengan niat yang iklas. Janganlah setakat buat untuk bagi sedap cerita atau menggula gulakan rakyat. Bila pemberian ini jadi seperti melepaskan batuk di tangga, maka akan ada banyak bunyi atau suara suara yang tidak best kedengaran dikalangan rakyat terutama bagi golongan pertengahan dan bawahan. Ini akan memberi impak atau kesan yang tidak baik. Jika pada mulanya, keputusan itu akan dilihat mampu mempopularkan kerajaan, ianya akan menjadi backfire kepada kerajaan semula apabila ramai yang jadi makin berbulu dan meluat atas sikap tidak serius pentadbiran negara.

Apalah salahnya jika ia diberi pada tarikh sehari sebelum dan sehari selepas tarikh tersebut. Saya percaya ia sedikit sebanyak akan mengurangkan implikasi mengata belakang para rakyat. Dan kerajaan juga akan dilihat lebih jujur dalam usaha mengurangkan beban rakyat dimusim perayaan. Saya bukan prejudis berkata hanya untuk Hari Raya, tetapi sekiranya ia mahu dilaksanakan di mana mana musim perayaan pun, gunakanlah pendekatan yang serupa agar nampak lebih bijak. Semua orang tahu, lebuhraya akan lebih lengang pada hari hari perayaan. Maka siapalah yang akan menikmati kesan diskaun tersebut? Hantu? So, please kurangkan rasa berbulu rakyat kepada Kerajaan Pemerintah, coz bila bila masa sahaja Pembangkang akan spin perkara ini untuk kepentingan dan mempopularkan mereka.

Walaupun aku penyokong tegar kerajaan, bukan bermakna aku akan menyokong membabi buta..Berkata benarlah walaupun ianya pahit untuk diterima.

A Point To Ponder

Sandwich  used to be served everyday in a hostel of 100 students. Out of 100 students 80 students complained to give different food / every ...