Thursday, August 31, 2017

Hero Tak Didendang - Oon Thoo Seng

Tidak banyak diceritakan perihal nilai positif seorang 'hero tak didendang' di negara kita, Malaysia yang serba majmuk ini. Semalam ianya sekali lagi terjadi, sehari sebelum sambutan ulangtahun kemerdekaan ke-60 tanahair.

Kemalangan jalanraya di selekoh maut Gunung Paku, Klian Intan berhampiran Pengkalan Hulu, Perak hampir meragut nyawa seorang wanita Melayu. Dalam kejadian sekitar jam 2.30 petang itu, dua kenderaan bertembung mengakibatkan seorang wanita terperangkap di dalam kereta yang dipandunya tanpa sedarkan diri.

Api gila mula marak di kereta sebelah yang terletak begitu hampir dengan kereta mangsa. Seorang kontraktor pembinaan rumah dari kaum Cina, Oon Thoo Seng yang sering berulang alik antara Sungai Petani ke Pengkalan Hulu sampai di tempat kejadian, dan melihat situasi cemas akibat kemalangan itu. Dia segera mendekati kereta wanita malang itu dan cuba membuka pintu pemandu tetapi tidak berjaya. Dia tidak dapat membuka pintu penumpang kerana api dari kereta sebelah berada begitu hampir.

Tanpa berfikir panjang, Oon berlari mengambil kapak di kenderaan hiluxnya dan segera kembali lantas memecahkan pintu kereta mangsa. Sebaik sahaja Oon berjaya menarik keluar wanita itu, kereta sebelah meletup dan api segera menyambar kereta wanita berkenaan. Kedua mereka terselamat. Oon mempertaruhkan nyawanya bagi menyelamatkan seorang wanita Melayu.

Oon ini 'the unsung hero'. Dia sedar api yang marak di kenderaan sebelah boleh pada bila-bila masa menerjah dirinya dan wanita yang sedang pengsan di tempat duduk pemandu. Namun atas sikap prihatin dan murni, dia mempertarungkan nyawanya untuk menyelamatkan seorang insan yang amat memerlukan pertolongan.

Wanita Melayu itu tak sedarah, tak sebangsa dan tak seagama dengan Oon. Namun Oon dan wanita itu ada satu ikatan, iaitu sehati sejiwa warga Malaysia, yang pintalnya telah disimpul mati sejak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, enam puluh tahun lalu. Walaupun ada usaha pihak tertentu mahu merungkai simpul ikatan ini, namun syukur kita masih boleh bertahan hingga kini, dan diharapkan pertahanan kita ini kekal kukuh sehingga ke titisan darah terakhir, kerana inilah tanah tumpahnya darah kita.

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada Oon Thoo Seng. Selamat Merdeka 60 tahun. (Terima kasih Adun Pengkalan Hulu, YB Aznel Ibrahim yang menceritakan tragedi ini kepada saya pagi tadi dan berkongsi foto).

Sumber : 
https://khusairitgmalim.blogspot.my/2017/08/oon-thoo-seng-hero-tak-didendang.html?m=1

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, August 30, 2017

Malaysia vs Thailand #KL2017 #SeaGames

Malaysia tewas kepada Thailand di laman sendiri 0 - 1. Bermakna negara perlu menunggu 2 tahun lagi untuk mencuba ibu segala pingat tersebut. Seperti peristiwa 2001, kesilapan penjaga gol menghukum pasukan negara. Meletakkan kegagalan tersebut ke atas penjaga gol, tidak boleh sama sekali. Dia juga beraksi baik sebelum ini malah dalam game yang sama telah menyelamatkan beberapa peluang keemasan. Jangan nafikan jasa beliau untuk yg itu hanya kerana satu kesilapan. Memang perit, tapi sesetengah hakikat dan proses kematangan adalah seperti itu.

Pasukan ini tidak keterlaluan jika saya katakan lebih kompos dan baik dari pasukan senior. Namun mereka perlu masa. Inilah pasukan masa depan negara kita. Jatuh bangun, menang kalah kita tetap bersama di belakang mereka. Ayuh Malaysia.. #BangkitBersama.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

A Point To Ponder

Sandwich  used to be served everyday in a hostel of 100 students. Out of 100 students 80 students complained to give different food / every ...