Sunday, August 21, 2016

Surat Lin Dan kepada Lee Chong Wei

Kepada Lee Chong Wei,

Ketika detik kamu mencampakkan raket ke lantai dan melompat tinggi dengan kegembiraan dan senyuman selepas mengalahkan saya, di sudut hati saya, saya berasa sangat gembira.

Kita berdua sudah kenal satu sama lain selama 16 tahun. Lama dahulu ketika pemain hebat seperti Taufik Hidayat dan Peter Gade masih bermain, kita masih mentah dan tidak dikenali. Tiada siapa yang kisah ketika kita bermain. Saya menang dalam perlawanan pertama kita, dan pertarungan ini berlanjutan selama 16 tahun bersama kamu.

Kita berdua mengalami kekalahan dan kemenangan bersama dan saya sangat berbangga kerana saya lebih bernasib baik untuk menang lebih banyak daripada kamu ketika di pertandingan besar. Kemudiannya, saya tahu yang saya tidak boleh lagi menilai kamu dari berapa kali kamu menang atau kalah, kamu adalah pemain yang memegang tanggungjawab yang sangat besar dan kita berdua terpaksa mengharunginya dengan usaha dan semangat.


Ribuan terima kasih kerana disebabkan kamu, kita diiktiraf seperti juara yang lain sebagai pesaing yang hebat, 'Lee-Lin' rivalry. Kita seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi di mana persaingan kita ini tiada kesudahannya.

Kamu adalah orang yang bertanggungjawab membentuk siapa saya sekarang ini. Saya telah menang kejuaraan besar di dalam sukan ini dan sebab utama saya tidak berputus asa dan menjadi malas adalah kerana kamu sentiasa menekan dan menolak saya. Setiap kejohanan pastinya lebih mudah jika tiada kamu kerana setiap kali berdepan kamu, saya perlu berusaha lebih keras bila biasanya saya tidak perlu berbuat demikian.

Boleh dikatakan dalam setiap pertemuan kita hanya dipisahkan oleh jaring dan setiap pertemuan pastinya mewakili usaha dan keazaman. Setiap kali saya melangkah ke depan, kamu tidak pernah kebelakang, tetapi sentiasa mengikut rapat di belakang. Jika kamu berlatih, saya berlatih. Jika kamu tidak putus asa, saya juga begitu.


Selepas melalui proses ini berulang kali, kita kini sudah berusia dan ramai pemain muda mula bertanding di kejohanan besar. Kadangkala kita bertanya khabar berbincang berkenaan setiap pemain muda tentang bagaimana persaingan ketika ini yang semakin sengit, tidak sewaktu dahulu di mana hanya ada kita berdua sahaja. Jujurnya, walaupun hanya ada kita berdua dan ianya agak sunyi, tetapi saya seronok kerana hanya kamu yang berjaya mengeluarkan yang terbaik dari dalam diri saya.

Tanpa disedari, kita kini di Olimpik Rio untuk kejohanan Olimpik kali keempat. di suku akhir, saya berdepan Srikanth Kidambi dari India dan ianya bukan permainan yang mudah dan saya berusaha keras untuk menang kerana saya sudah berjanji untuk bertemu kamu, musuh ketat saya.


Di pertemuan kali ke 37 kita ini, saya kalah dan saya tidak kecewa. Kamu adalah musuh ketat saya paling hebat dan saya sudah bersedia andai kalah kepada kamu. Momen ketika saya memeluk kamu, saya merasakan setiap apa yang terjadi sejak 16 tahun lalu adalah umpama mimpi.

Saya akan bawa pulang jersi kamu ini dan tunjukkan kepada anak saya di masa akan datang; inilah Lee Chong Wei, musuh ketat paling hebat ayah dan juga sahabat baik ayah.

Saya tidak menyesal mengenali kamu dan bersaing dengan kamu selama ini. Terima kasih Lee Chong Wei!

Selamat berjaya di final – Lin Dan.

Sumber: Thevocket.com


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, August 17, 2016

Azizulhasni Perlu Berjiwa Lebih Besar

Sekiranya saya mengambil pendekatan popular, saya boleh sahaja bersetuju dengan kenyatan Azizulhasni, wira negara yang menghadiahkan rakyat Malaysia sebutir pingat gangsa Olimpik 2016 melalui acara Keirin dengan mengecam tindakan Kerajaan Terengganu tidak meluluskan permohonan roadbike beliau.

Namun, saya yakin dan percaya Azizul sendiri sudah pasti bakatnya itu dikesan melalui pelbagai program sukan berbasikal yang kita semua tahu merupakan antara sukan yang diberi perhatian serius oleh Kerajaan Negeri Terengganu. Yang mana bakat itu kemudiannya dikembangkan oleh pelbagai pihak hingga dia berada di prestasi hari ini.

Dan sudah pasti juga dengan rentetan rentetan kejayaan yang beliau perolehi sebelum ini, sedikit sebanyak sudah pasti ada menerima imbuhan daripada kerajaan negeri. Saya yakin kerajaan negeri Terengganu tidak sedungu itu untuk menidakkan jasa dan sumbangan anak kelahiran Dungun ini.

Cuma secara logiknya, saya merasakan Kerajaan Negeri mengambil langkah yang betul untuk tidak membelikan roadbike tersebut untuk kedua peserta ini kerana kedua2nya mendapat tajaan yang bukan sedikit daripada Yayasan Sime Darby. Malah sudah semestinya juga bukan sedikit bajet yang diperuntukkan oleh kerajaan ke atas peserta prospek podium ini. Belum dikira dengan tajaan tajaan sebagai duta produk yang semuanya diperolehi pada hari ini juga sedikit sebanyak kerana jasa Kerajaan Terengganu yang mengasah bakat beliau diperingkat awal.

Dan dengan segala keupayaan dari segi kewangan yang ada, mungkin, Kerajaan Terengganu melalui agensi yang terbabit merasakan keperluan peruntukan tersebut lebih sesuai digunakan untuk melahirkan lebih ramai lagi Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapha.

Kita menghargai segala pengorbanan yang telah beliau lakukan demi membawa nama Malaysia di pentas Olimpik, namun jangan lah hanya kerana satu kesilapan atau kes terlepas pandang dalam memenuhi kehendak beliau, maka segala jasa yang telah dicurahkan sebelum ini, dilupakan sebegitu sahaja.

Azizul merupakan idola dan ikon kepada anak muda hari ini terutama yang meminati sukan basikal. Semua mahu menjadi seperti dia. Jadi kita mengharapkan peranan yang lebih besar daripada beliau selain menjadi seperti anak2 kecil yang merajuk tak dapatkan basikal daripada ayahnya.

Akhir kalam, saya yakin tulisan beliau pada waktu itu lebih dipengaruhi oleh kesebakan emosi beliau yang sangat terharu dengan kejayaan tersebut, maka fokus terima kasihnya lebih terjurus kepada siapa yang terbabit dalam persiapan beliau ke Brasil. Mungkin sekarang bila sudah sedikit bertenang, beliau pasti mengakui kesilapannya.

Namun....AZIZUL, ANDA TETAP WIRA DI HATI KAMI RAKYAT MALAYSIA.

Anggun Tg Malim
Naib Ketua Pemuda
UMNO Bahagian Tg. Malim

Sumber : Facebook

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, August 12, 2016

Kuih Melayu - Realiti Sebenar!

KUIH MELAYU

"Makcik, bagi kuih ni 2, yang ni 3," kata Nora.

"Tak nak tambah lagi satu nak bagi cukup tiga ringgit?" tanya makcik itu.

"50 sen satu kuih? Kenapa mahal benar ni cik?" tanya Nora secara berseloroh. "Bolehlah, saya tambah lagi satu biji."

Makcik itu menyepit kuih lapis berwarna merah jambu itu lalu diletakkan di dalam plastik putih, lalu dimasukkan ke dalam plastik kecil berwarna kuning.

"50 sen sebiji pun, untung bukan banyak pun dik," jawab makcik itu.

"Ye ke ni cik?" tanya Nora semula.

"Sebijik makcik jual 50 sen. Untung sebiji paling banyak pun 20 sen, 30 sen, itu pun lepas tolak kos bahan sahaja. Kos masa, kos renyah buat kuih, kos elektrik, semua tu makcik pun tak pandai la nak kira macam mana," jawab makcik.

Makcik itu menghulurkan beg plastik kuning berisi 6 biji kuih itu kepada Nora.

"Adik agak pukul berapa makcik start buat kuih tu?" tanya makcik itu.

"Tengahari, dalam jam 11 macam tu," agak Nora.

"Makcik buat seorang, dari pukul 10 pagi," jawab Makcik tu. "Dalam pukul 3.30 dah kena siap semua, pukul 4.15 makcik dah ada dekat sini bukak gerai, selalunya dalam 6.30 makcik dah kena tutup, sebab anak-anak nak balik sekolah," beritahu makcik itu.

"Sekarang pukul berapa ni dik?" tanya makcik itu lagi kepada Nora.

"5 suku," jawab Nora.

"Adik pelanggan kedua makcik hari ni," jawab makcik itu. "Berapa ringgit makcik untung jualan atas adik? RM1, RM1.20."

Nora diam sahaja.

"Berapa biji kuih pelanggan pertama makcik beli tadi? Tiga," kata makcik itu sambil mengangkat jari. "Katalah makcik untung dengan dia RM1.00. Dari jam 10 pagi sampai sekarang, makcik baru untung RM2.20."

Tak pernah Nora terfikir semua itu sebelum ini.

"Dulu makcik jual goreng pisang, yang tu untung dia banyak sikit, tapi lepas anak makcik dah masuk sambung belajar, makcik tak larat nak buat," beritahu makcik tu. "Tu kuih ketayap yang adik beli tu, berapa lama adik rasa satu biji kuih tu nak siap?"

"Sejam lebih," agak Nora lagi. "Nampak macam leceh nak membuatnya tu. Maaf makcik, saya nak tanya, kalau tak untung, kenapa makcik meniaga?"

Makcik itu merenung muka Nora.

"Sebab ada ramai orang Melayu nak makan kuih Melayu, kalau makcik tak meniaga, siapa lagi yang nak meniaga kuih Melayu," jawab makcik itu. "Makcik suka meniaga. Lagipun makcik bukan pandai buat benda lain dah sebenarnya. "

Makcik itu menyusun bekas-bekas kuih yang ada, "tapi maaflah dik takut adik terasa, makcik nak kata, orang Melayu kita sekarang ni pelik dik."

Nora terdiam tertanya-tanya. "Pelik macam mana tu Cik?"

"Orang kita makan donut sebijik RM3 tak apa, sushi sebijik RM2 tak apa, tapi bila cerita pasal kuih tepi jalan, 50 sen sebiji, mahal," Makcik itu senyum.

Nora terdiam lagi.

"Adik pernah cuba buat kuih orang kita?"  tanya makcik itu tiba-tiba.

"Tak pernah lagi, kuih bahulu ada la saya cuba buat masa raya dulu," jawab Nora.

"Berapa sen adik rasa berbaloi nak jual kuih bahulu sebiji yang adik buat dari mula sampai siap?" tanya makcik tu.

Nora hanya diam. Terkenang penat dan lenguh tangannya memukul telur.

"Pada makcik, tak apa makcik untung sikit, makcik cukup makan, sebab makcik tau, ada ramai orang kat luar sana yang macam adik, nak makan kuih orang kita. Pada makcik, ni semua sumbangan makcik pada anak-anak jugalah," kata makcik itu. "Tapi makcik sedih tengok orang kita, yang dah tak peduli nak jaga apa yang kita ada."

Nora diam sahaja mendengar. Dia hanya merenung melihat makcik itu meneguk sedikit air kosong dari botol air berkarbonat yang dibawa.

"Makcik orang Melayu. Makcik boleh meniaga sushi ke, dorayaki ke, harga pun sebijik 2 ringgit, jual 10 dah macam untung makcik sehari, barang pun ambik dari pembekal, tak perlu renyah-renyah buat semua," kata makcik tu.

"Tapi dik, kalau makcik buat macam tu, siapa lagi nak jual kuih-kuih ni dekat adik?" tanya makcik tu.

"Kalau makcik mati nanti, anak-anak makcik semua dah tak mau buat kuih. Yang perempuan pun tak minat nak belajar macam mana, nanti-nanti takkan la semua orang Melayu nak makan sushi dengan donut aje hari-hari?" Makcik itu menghulurkan duit RM3 semula kepada Nora.

"Eh, makcik, ni kan duit kuih saya," kata Nora.

"Makcik tak nak duit kau dik, makcik sedekah. Tiap-tiap orang yang beli kuih dengan makcik dan dia kata mahal, makcik bagi balik duit kat dia dan makcik sedekahkan," jawab makcik itu.

"Kenapa pula makcik?" tanya Nora kehairanan.

"Sebab kalau orang Melayu tak nak tolong orang Melayu yang tak mampu macam adik, siapa lagi yang akan tolong orang kita, yang sibuk laung tolong melayu pun cuma tolong yang melayu kaya je..macam bawah-bawah ni mana lah mereka fikir sangat" jawab makcik itu.

"Ehh..saya masih mampu makcik," balas Nora.

"50 sen sebiji adik kata mahal, tak mampu lah tu," kata makcik itu tersenyum, ikhlas.

Sent from OPPO Mail

A Point To Ponder

Sandwich  used to be served everyday in a hostel of 100 students. Out of 100 students 80 students complained to give different food / every ...