KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata, Barisan Nasional (BN) hampir selesai membuat pembahagian kerusi
dan memutuskan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU-13).
Beliau yang juga pengerusi BN berkata, parti itu juga sedang memberi
tumpuan terhadap kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya umum.
"Kita memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan pilihan raya...seperti
mana kita sedia maklum masanya akan tiba tidak lama lagi untuk
mengadakan pilihan raya umum.
"Semua parti komponen Barisan Nasional telah diberi panduan yang
jelas dan kita akan tentukan beberapa perkara...soal pembahagian kerusi
antara parti komponen Barisan Nasional hampir selesai.
"Begitu juga dalam soal penentuan calon-calon sebahagian besar telah
pun diputuskan," katanya kepada para pemberita selepas mempengerusikan
mesyuarat Majlis Tertinggi BN dekat sini, Khamis malam.
Najib berkata dari segi pemilihan calon, penelitian mendalam perlu
diberikan bagi memastikan pilihan calon yang dibuat adalah tepat.
Katanya, calon BN yang akan bertanding bukan sahaja dilihat dari segi
kebolehannya tetapi juga dari segi penerimaan penduduk di mana calon
berkenaan bertanding.
Mengenai kemungkinan calon akan diumumkan lebih awal, Najib berkata
perkara itu akan ditentukan kemudian kerana ia masih dalam perbincangan.
"Kita akan tentukan dan nanti...kita akan maklumkan dengan melihat
beberapa pandangan. Kita bincang tapi kita belum buat keputusan lagi,"
katanya.
Najib menambah, setakat ini sokongan rakyat terhadap BN dilihat
semakin meningkat tetapi BN tidak boleh terlalu selesa dengan keadaan
ini.
Ini kerana, katanya, dalam pilihan raya terdapat banyak faktor yang boleh mempengaruhi keputusan pengundi.
"Kita tak mahu bersikap terlalu selesa atau yakin seolah-olah tidak ada apa yang menggugat kita.
"Saya harap kita dapat gandakan usaha dan terus beri semangat serta keyakinan terhadap jentera BN," katanya.
Diminta mengulas mengenai tarikh pembubaran Parlimen dan pembubaran
Dun Johor pada 21 Mac ini sebagaimana yang dianalisis oleh pihak media,
Najib menjawab: "Ya saya tahu. Tak apalah Dun Johor (bubar) Dun
Johorlah...Parlimen...Parlimenlah."
sumber :
mStar