Kesedihan keluarga dan para penumpang yang kehilangan terpisah secara misteri dengan insan tersayang semakin memuncak hingga ke hari ini. Kejatuhan saham MAS cukup menyedihkan. Kita semua dalam keadaan berkabung kerana kehilangan aset, maruah dan nyawa. Kehadiran Raja Bomoh VIP melakukan ritual TELEK di KLIA, satu tempat yang sangat terkawal keselamatannya di depan wartawan pula memberi tekanan kepada maruah agama Islam di mata dunia.
Sudahlah berita yang baik tidak diminati oleh media luar, dihidang pula dengan "bahan" yang boleh memburukkan imej Islam, maka lajulah berita tentang bomoh ini sampai ke seluruh dunia dalam sekelip mata. Seluruh masyarakat dunia mengejek dengan turut melakunkan aksi mentera.
Berita Raja Bomoh yang diputar hebat oleh pelbagai pihak telah membuat beliau marah. Tidak pasti apa dan siapa yang menjadi 'backup' di belakang beliau sehingga berani mengeluarkan kenyataan berbentuk ancaman sedemikian rupa. Seorang menteripun beliau berani ajak bertarung secara jantan, bahkan mahu ditampar seperti beliau menampar seekor buaya tembaga sehingga mati. Ditambah pula dengan ancaman tindakan mahkamah, tuntutan gantirugi 10, 20, kemudian 100 juta pula diminta.
Kami mengikuti perkembangan Raja Bomoh dengan hati-hati termasuk kesemua ulasan dan komentar yang berbagai rupa. Kami kira sudah cukup dengan pelbagai ulasan dari pelbagai peringkat. Malangnya semakin hari semakin ramai yang mendesak agar kami turut memberi ulasan mengikut sudut pandang yang lebih luas. Ulasan WP biasanya agak berlainan kata mereka.
Tidak pasal-pasal Malaysia ditempelak oleh masyarakat dunia, khasnya dunia Islam atas kecelaruan dari upacara Raja Bomoh ini. Apapun kita bersyukur atas tindakan pihak Penguatkuasa JAIS yang menempatkan pegawai mereka di KLIA untuk mencegah sebarang upacara yang sama berulang lagi. Kita yakini semua yang berlaku itu ada hikmahnya.
BICARA AKHLAK & BOMOH
Isu bomoh ini telah menambah runtuhan akhlak umat masa ini. Samada yang mengeji dan yang dikeji
Sebelum ini sudah banyak sekali kita baca berita tentang penggunaan khidmat bomoh oleh ahli politik. Dikatakan ramai ahli politik ada bomoh peribadi masing-masing. Ada yang sampai peringkat berbunuhan sesama sendiri. Kecelaruan pada orang awam tentang bomoh lebih teruk lagi. Berbagai berita kita baca di mana anak sanggup membunuh bapa, adik sanggup bunuh abang, pernikahan dibatalkan di saat akhir, hanya dengan mendengar kata tukang telek/bomoh sahaja. Tidak termasuk lagi kes seperti anak gadis dirogol oleh sang bomoh..!.
Dalam isu Raja Bomoh VIP dan menteri ini kami melihat satu situasi akhlak yang amat menyedihkan. Maruah dan kedaulatan seorang menteri muda dipijak-pijak secara terbuka oleh seorang bomoh yang 'belum cukup tua' dan belum boleh di gelar pikun atau nyanyuk lagi. Terlalu rendah akhlak kita di mata umum. Kematangan akal fikiran dan keteguhan akidah jauh sekali.
Yang paling menyedihkan ialah sikap bongkak dan riak dalam pembomohan ini. Upacara yang jika sekalipun dirasakan betul itu tidak seharusnya dibuat secara terbuka di hadapan khalayak ramai. Semua kehebatan diceritakan depan pemberita yang seramai itu. Selebihnya kita fikirlah sendiri kewajaran dan kewarasannya. Yang pasti Allah tidak suka hambanya takbur dan 'menunjuk-nunjuk'.
KONFLIK AKIDAH - ANTARA LOGIK/MAGIK - ANTARA SAINS KASYAF, RUKYAH & FALAK
Aqidah adalah bicara ikatan tasdiq hati. Ia dizahirkan melalui lafaz aqad/ikrar yang mengikat hati dan akal kita dengan Allah. Selagi kita masih nampak keesaan Allah dan bergantung dengannya, selagi itu aqidah kita akan kemas terikat. Tidak akan tergamak kita menduakan Allah, seolah-olah sudah hilang kepercayaan dan kebergantungan kita padaNya. Sandaran kepada bomoh ini boleh menghapus akidah, menjurus kepada syirik (menduakan Allah) NAUZUBILLAH.
Cerita kekebalan dan kehebatan diri, cerita boleh nampak perkara yang ghaib, seperti apa yang ada di sebalik dinding, atau tahu perkara yang belum terjadi itu sahaja sudah menyalahi fitrah. Mukmin seharusnya merendah diri, mengakui hanya Allah yang maha hebat dan perkasa. Allah juga telah tetapkan bahawa hanya Allah yang tahu akan perkara yang ghaib. Hari ini, ada seakan-akan seorang manusia yang mengetahui yang ghaib seperti "Tuhan".
Nabi SAW sendiri tidak kebal. Dibaling batu luka juga dahinya, patah juga giginya, mengalir darah sampai ke kaki. Tapi bagaimana pula 313 orang boleh menang mengalahkan 1000 orang musuh di perang Badar? Itu kerana Baginda kobarkan semangat bala tenteranya, diberikan kefahaman tujuan dan strategi perang yang meyakinkan serta disusun saf mereka dengan rapi. Walau pun menang, tetap ramai yang gugur syahid. Tidaklah mereka itu kebal. (QS:8/65)
Sayidina Hamzah r.a. bapa saudara baginda juga gugur di perang Uhud, malah dikelar-kelar dengan kejam sekali oleh musuh. Mengapa tidak digunakan sahaja khidmat bomoh "ISLAM" yang kebal, yang kekuatannya jika ditampar buaya tembagapun boleh maut. Jika ia benar dari Islam, pastinya Nabi yang akan tahu dan amalkan dahulu berbanding kita. Tetapi tidak, jika dibaling dengan batu sehingga luka di dahi ia tetap luka dan sakit. Jika diracun bakal maut. Itulah bentuk telekan yang Nabi SAW ajarkan.
Dalam masa kita akur ketetapan Allah dalam quran bahawa Nabi pun tidak tahu perkara yang ghaib, tetapi banyak juga kita dengar seolah-olah baginda tahu perkara ghaib pula. Contohnya, banyak perkara akhir zaman telah baginda firasatkan, banyak hadis tentang keadaan syurga dan neraka, bahkan futuh Mekah itu sendiri pun sudah baginda rukyahkan sebelum ianya berlaku (QS:48/27). Tapi bagaimana?
Secara sainsnya, ada beberapa sudut pandang dalam hal ini. Pertamanya baginda adalah insan yang dibimbing wahyu. Keduanya baginda sepertimana nabi-nabi lain menggunakan sepenuh-penuhnya FORMULA yang diwahyukan untuk MENGATUR TINDAKAN. Contohnya jika perpecahan itu melemahkan, baginda atur umat agar melakukan perintah Allah untuk bersatu. Kemudian baginda sandarkan kepada janji Allah untuk memberikan kekuatan hasil dari penyatuan itu.
Banyak lagi kehebatan yang kita lihat sebagai metafizik telah berlaku kepada para nabi Allah. Sebenarnya kisah metafizik yang diceritakan dalam quran itu adalah suatu imbasan mutasyabihat yang sangat strategik. Kita akan menjadi manusia yang jahil, lemah dan zalim jika hanya suka duduk memuja, mengharapkan magik dan metafizik sahaja. Malanglah kita yang tidak rajin meneliti dan memahami konteks mutasyabihatnya lalu bersangka-sangka yang para nabi itu mempunyai kuasa magik semata-mata.
Rugilah jika kita tidak ambil pelajaran dari contoh kisah metafizik yang sekalipun mungkin telah berlaku secara fizik itu untuk menukarkannya menjadi satu kehebatan mutasyabihat secara strategik lalu berjaya menikmati realiti fiziknya. Selama ini kita hanya mampu berbangga dengan kehebatan Allah dari semua unsur metafizik itu saja. Yang Allah mahu ialah memuja kehebatan 'strategi' melalui falsafah mutasyabihat dari kisah metafizik yang sekadar menjadi sandaran pelajaran itu, bukan metafiziknya.
Jika berterusan demikian, samalah kita dengan jahiliyah sejak dahulu yang tidak habis-habis mengatakan para nabi itu adalah tukang tenung, ahli sihir atau orang gila yang penuh dengan metafizik. Sedangkan para nabi sebenarnya sedang menyampaikan FORMULA bagaimana harus berbuat untuk kita turut jadi hebat dari semua kisah-kisah itu.!
Bertelekan dan berdipan-dipan di majlis ilmu (mutasyabihat syurga) yang para nabi lakukan itu adalah satu bentuk syuro untuk mengatur siyyasah. Mereka bukan hanya menelek dengan melihat air dalam mangkuk saja. Ia adalah aktiviti berjemaah untuk berpadu kepakaran, menganalisa segala input, mengatur tindakan dan MENELEK kesannya. Semuanya berdasarkan wahyu dan tindakan berjemaah mengikuti kehendak wahyu itu. Di situlah hadirnya kebenaran segala yang ditelek oleh mereka.
Contohnya apabila Musa a.s. bertelekan memukul tongkat di laut sebelum terbelahnya lautan. Itu adalah analogi tongkat sebagai 'petunjuk' yang akan membelah lautan manusia di peringkat awalnya. Sebahagian akan menerima petunjuk itu sebagai golongan kanan, sebahagian lagi mendustakan sebagai golongan kiri.
Di celah belahan dua kelompok manusia itulah Musa a.s. berjalan mengikut petunjuk dari tongkatnya lalu dikejar Firaun. Dengan kehebatan petunjuk itulah Allah yakinkan Musa a.s. serta pengikutnya bahawa lautan manusia yang terbelah tadi pasti akan bercantum semula untuk mengikuti langkah baginda. Akhirnya Firaun yang angkuh itu lemas kerana ditinggalkan pengikutnya. Bolehkah anda lihat fenomena itu sedang berlaku sekarang?
Bacaan Rasulullah SAW tentang al-Masih Dajjal, al-Mahdi, Isa a.s. dan peristiwa-peristiwa akhir zaman juga seolah-olah menampakkan unsur telek dan tenungan. Sebenarnya itu adalah fenomena membaca tanda dan mengatur strategi. Firasat itu berdasarkan iqra' baginda setelah mengkaji unjuran perkembangan peradaban manusia. Apa saja tabiat yang umat amalkan, maka itulah akibat yang bakal diterima. Ini adalah iqra' wahyu, satu FORMULA bagaimana berlakunya suatu kejadian. Bukan satu firasat kosong. Kerana itu ianya boleh diubah dengan doa/dakwah, dengan bimbingan wahyu yang jelas difahami maksud dan perlaksanaannya.
Semua kitab samawi juga berdasarkan pelajaran yang diambil dari unjuran testimoni serta pengalaman baik dan buruk masa lalu. Semuanya bakal menjanjikan samada kejayaan ataupun kehancuran, bergantung sejauhmana umat memahami, meyakini dan melaksanakan perintah dari kitab mereka. Telekan ke atas kronologi / testimoni itulah yang baginda kaji dan jadikan satu 'bacaan' apa bakal berlaku di masa depan. Itulah asas ilmu kasyaf, rukyah dan falaq yang sebenar. Bukan mengikuti falaq dari sumber was wis dan hasad dengki (QS:114)
KAITAN AYAT QURAN & BOMOH, SIHIR, TUKANG TENUNG / TELEK
Alangkah sedihnya melihat kejahilan generasi kita tentang quran dan isu bomoh ini. Asal sahaja Si Bomoh ada baca quran dalam jampi mentera mereka, maka dikatakan itu yang hak dan benar. Kesan magik dan metafizik dijadikan 'ukuran kebenaran' pula. Kami ingin tegaskan prinsip itu telah BERLELUASA menipu kita tetang kebenaran.
Mari fikirkan sejenak. Adakah unsur syariat/syarak dari wahyu yang dibacakan itu yang memberikan hasil? ataukah sebenarnya unsur pujaan berupa syair, sihir, syirik dan tahyul yang menghasilkan kesan metafizik dan magik itu?
Jika begitu bagaimana pula dengan bomoh Siam, dukun Indonesia, bomoh orang asli, bahkan David Coperfield dan ramai lagi magician yang jauh lebih magiknya dari kita? Adakah mereka ini semuanya turut membaca mentera ayat suci alquran? Jadi, apa bezanya mereka dengan kita? Di mana nak kita kaitkan mentera quran yang memberikan hasil yang sama itu? Sila baca firman di bawah nanti untuk jawapannya.
Sebenarnya bahasa apa sekalipun boleh dijadikan mentera. Apa sahaja yang kita puja akan menghasilkan tenaga aura metafizik dan magik itu. Ada yang berupa busut, keris, cincin, kain kuning, kain hitam, kayu tas, buluh, rotan dan berbagai lagi. Terbitan metafizik itu adalah sejenis 'makhluk', satu fitrah alam kurniaan Allah. Terbitan itu telah Allah tetapkan melalui fenomena kajiaura dan metafizik. Semua itu adalah jadian dan pinjaman dari Allah. Tentunya Allah adalah sebaik-baik dan sehebat-hebat pemilik metafizik.
Bagaimana mekanisma quran itu menjadi syifak dan menyembuhkan penyakit?
QS: 10. Yunus 57. "Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Rabbmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman".
Nabi SAW sabdakan bahawa kebanyakkan penyakit itu bermula dari hati. Ia terbit dari hati yang resah dan bingung akibat kejahilan. Kehidupan secara jahiliyah itu mencorak penyakit kepada kita. Lalu Allah datangkan pelajaran untuk menenangkan dan menambah keyakinan dalam jiwa manusia. Petunjuk itulah yang menjadi rahmat yang meyakinkan lalu mampu menyembuhkan pelbagai penyakit lainnya melalui pembetulan tabiat manusia.
Jika kita baca kuat-kuat dan ulang-ulang syair dan lafaz wahyu menjadi mentera tanpa memahami, adakah apa-apa pelajaran dari bacaan kita? Jika tidak, mampukan wahyu itu memberi ketenangan jiwa yang bersifat interinsik/dalaman dan kekal? Mampukah mentera itu membetulkan kesilapan yang telah menjadikan kita sakit dari carahidup/habit yang jahil? Mampukah mentera itu memberi kekuatan jiwa melalui keyakinan dan keimanan dari pelajaran hasil bacaan kita tadi? Wahyu berikut mungkin boleh membantu…
QS: 69. Al Haaqqah 38-43
Maka Aku bersumpah dengan apa yang kamu lihat. Sesungguhnya Al Quran itu adalah benar-benar wahyu Rasul yang mulia, dan bukanlah ia perkataan seorang 'PENYAIR'. Sedikit sekali kamu BERIMAN kepadanya. Dan bukan pula perkataan BOMOH / TUKANG TENUNG. Sedikit sekali kamu mengambil PELAJARAN daripadanya. Ia adalah wahyu yang diturunkan dari Tuhan semesta alam.
52. At-Thuur 29. Maka tetaplah memberi peringatan, dan disebabkan nikmat Tuhanmu bukanlah kamu seorang BOMOH / TUKANG TENUNG dan bukan pula seorang gila.
Ada kalanya bomoh menyampaikan berita yang mengandungi kebenaran, namun di waktu yang sama diselit beberapa amalan syirik kepada kita tanpa disedari. Contohnya, mensyaratkan puasa sunat, baca zikir tertentu atau menyembelih haiwan tertentu. Itu semua adalah ibadah yang hanya layak dilakukan kerana Allah dan atas perintah Allah, bukan kerana bomoh dan jin mereka. Inilah unsur syirik dalam ibadah ciptaan bomoh yang tidak kita sedari.
Uswah dari Nabi Ayub a.s. dalam menghadapi penyakit harus kita ambil pelajaran. Baginda tetap bertawakkal kepada Allah, menolak tawaran pihak yang mahu dan mampu kononnya menyembuhkan penyakit yang dideritai sekian lama itu. Mampukah kita mengikut sunnah itu?
Allah berfirman: "Hanya milik Allah asma-ul husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan asma-ul husna itu dan tinggalakanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam penggunaan nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan."(QS. Al-A'raaf : 180)
Biasanya bomoh akan mendakwa mengetahui perkara ghaib seperti berita tentang perkara-perkara akan datang. Dakwaan itu biasanya bersandarkan perkhabaran yang dibisikkan oleh golongan jin dan bijakpandai yang mencuri-curi berita lalu diadun dengan ratusan kebohongan untuk membuat manusia mempercayai ramalan tersebut. hadis berikut menjelaskan…
"Orang-orang bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang para dukun atau bomoh, maka baginda menjawab: mereka itu TIDAK BERGUNA SEDIKITPUN". Para sahabat berkata: "Wahai Rasulullah kadangkala mereka berbicara tentang sesuatu dan ternyata benar ia terjadi". Maka Rasulullah s.a.w. menjawab: "Kebenaran itu ialah suatu yang dicuri oleh satu jin, lalu ia lontarkan pada telinga kekasihnya (bomoh) dan mereka mencampuradukkan dengan seratus pembohongan." (al-Bukhari & Muslim daripada Ai¬syah r.ha)
Rasulullah s.a.w. juga bersabda: "Sesungguhnya para malaikat turun ke al-Anan iaitu awan, lalu mereka saling bercakap-cakap tentang masalah yang diputuskan di langit dan syaitan-syaitan mencuri-curi dengar apa yang diperkatakan, maka syaitan berjaya mendengarnya lalu syaitan menyampaikan kepada para bomoh dan mereka pun menokok tambah dengan seratus pembohongan dari mereka sendiri" (HR Al-Bukhari daripada Aisyah r.ha).
مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْئٍ فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا
"Barangsiapa yang mendatangi bomoh untuk bertanya tentang sesuatu perkara lalu dia membenarkan apa yang bomoh itu katakan, maka tidak diterima solatnya selama 40 hari". ( HR Muslim )
"Barangsiapa yang mendatangi bomoh untuk bertanya tentang sesuatu perkara lalu dia membenarkan apa yang bomoh itu katakan, maka tidak diterima solatnya selama 40 hari". ( HR Muslim )
مَنَ أَتَى كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُوْلُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ (صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ )
"Barangsiapa yang mendatangi bomoh lalu ia mempercayai apa yang bomoh itu katakan maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w." ( HR Abu Daud )
"Barangsiapa yang mendatangi bomoh lalu ia mempercayai apa yang bomoh itu katakan maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w." ( HR Abu Daud )
BERBOMOH MEMBAWA KEPADA SYIRIK
Jika Tauhid bermaksud 'MengESAkan' Allah S.W.T., maka makna syirik pula ialah 'MENDUAKAN' keESAan Allah. Syirik adalah dosa yang paling besar daripada dosa-dosa besar lainnya. Ia tidak akan diampuni Allah. Segala amalan lalu juga akan terhapus. Firman Allah S.W.T.:
إِنَّ اللَّهَ لاَ يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar. ( Al-Nisa' / 4 : 48 )
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar. ( Al-Nisa' / 4 : 48 )
وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada orang sebelummu: "Jika kamu mempersekutukan, niscaya akan hapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi. ( Al-Zumar : 65 )
Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada orang sebelummu: "Jika kamu mempersekutukan, niscaya akan hapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi. ( Al-Zumar : 65 )
وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَكَأَنَّمَا خَرَّ مِنَ السَّمَاءِ فَتَخْطَفُهُ الطَّيْرُ أَوْ تَهْوِي بِهِ الرِّيحُ فِي مَكَانٍ سَحِيقٍ
Barang siapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah ia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh. ( Al-Hajj / 22 : 31 )
Barang siapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah ia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh. ( Al-Hajj / 22 : 31 )
AMALAN PERBOMOHAN TELAH DITETAPKAN SEBAGAI TANDA AKHIR ZAMAN.
Para ulama seumpama bintang di langit yang menjadi petunjuk kepada para pengembara, maka apabila mereka tiada, pengembara akan hilang pedoman dan langit menjadi suram tidak berseri. Ini bermakna kewafatan seorang ulama itu adalah merupakan suatu musibah yang besar pada umat Islam. Di antara tanda-tanda Kiamat adalah hilangnya ilmu dan tersebarnya kebodohan. Hal ini telah dijelaskan dalam himpunan banyak kitab hadis akhir zaman, antaranya oleh Syeikh Banjari. Antara hadis dan firman yang terkait ialah,
"Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut ilmu itu sekali gus dari dada manusia, tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu dengan mematikan alim ulama', maka apabila sudah ditiadakan alim ulama', orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka, apabila pemimpin jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan, maka mereka sesat dan menyesatkan orang yang lain". (Riwayat Muslim Daripada Abdullah bin 'Amru fin al 'Ash)
Abdullah bin Mas'ud RA berkata:
"Hendaklah kalian memiliki ilmu sebelum ilmu itu diangkat dan dilenyapkan, lenyapnya ilmu dengan wafatnya orang yang mengajarkannya. Seseorang tidak akan mungkin dilahirkan dalam keadaan ilmu, kerana sesungguhnya ilmu itu didapatkan dengan belajar."
Perhatikan firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 90-91 ini:.
"Hai orang-orang yang beriman sesungguhnya meminum arak, berjudi, berhala, menelek nasib adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu mudah-mudahan kamu beruntung. Sesungguhnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara sesama kamu lantaran daripada arak dan judi, dan menghalangi kamu dari mengingat ALLAH dan daripada melakukan solat, Adakah kamu hendak berhenti dari melakukan perkara-perkara keji itu atau kamu masih berdegil".
KESIMPULAN:
Boleh jadi buku nanti jika kami teruskan ulasan ini. Kesimpulannya, kembalikan sunnah 'BASTOTAN FIL ILMI WAL JISMI' "Dengan Ilmu yang luas, tubuh jadi perkasa" (QS:2/247). Unsur magik itu menggunakan kekuatan luaran, sedangkan tauhid menerbitkan kekuatan dalaman. Itulah hadiah Allah untuk para mukmin. Ilmu dan Iman itu yang mahu diwariskan oleh para anbiyak kepada kita. Tanpanya maka lakulah kelentong sang bomoh. Jadi ulam Dajjal saja kita ini dan lemahlah semuanya. Ini bermakna sudah hilang / berakhirnya zaman kehebatan Islam hasil dakwah baginda SAW. Ya, amalan berbomoh inilah salah satu tanda berakhir zaman kegemilangan agama.
Mari teruskan berdoa untuk #MH370 #PRAY4MH370 #PrayForMh370 #DoaUntukMH370 #doakanMH370
Maafkan kami kerana ulasan ringkas jadi panjang sebab ini isu akidah menyentuh amalan harian yang sangat penting.
Sumber : Facebook WARGA PRIHATIN
No comments:
Post a Comment