Sesekali aku ubah angin sikit dalam terbitan artikel. Bagi aku artikel kali ini agak santai namun mempunyai makna yang mendalam. Dalam erti kata lain, aku tak ada modal nak tulis, so aku copy aje la..
Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi
wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.
Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya?
Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala. Ya, apa perlu
seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada
tangan seorang lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama
kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak
putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.
Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik,
tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu
jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu
sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor
kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.
Tetapi saya fikir, saya faham apa yang
berputar-putar dalam kepalanya. Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan
cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir:
Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.
Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta
tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika
kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.
Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan
Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang
baik itu tidak turun dari langit.
Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang
dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi lelaki yang baik, jika tuhan mahukan dia
menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian
kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam
selok-belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana,
dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.
Dia akan datang apabila
tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih
mengetahui.
Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan
seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya.
Dia menyempurnakan kita. Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan
dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita sebagai wanita,
harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki
duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga
mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.
Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di
kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap
keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia. Tetapi
lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya
pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti
ada.
Barangkali daripada si dia, barangkali juga
daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan
ke hari tua. Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi
menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu
hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak
juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.
Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja
lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa. Bercakap soal kahwin,
beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.
Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala
di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada
lelaki yang mereka cintai.
Semoga mereka tak tersalah pilih. Dan semoga lelaki
yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.
Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita
mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan
jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana
ibu diilhamkan tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta,
kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak
terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah
sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan tuhan itu indah, kita terbit
daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu
untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk
disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk
ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk
dimulia, disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah
angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya. Tetapi kerana
fitrah kejadian tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan
kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu
menjadi angin semata-mata.
Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita
mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup
langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh
dan mati.
Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita
semua diketemukan dengan jodoh yang baik. InsyaAllah.
Sumber : PUSPITAKIRANA
No comments:
Post a Comment