Kepimpinan UMNO tunduk lagi. Kali ini dalam kegagalan menanggani isu buku Interlok. Hal budak sekolah pun parti keramat UMNO gagal untuk pertahankan. Apa lah yang boleh dikatakan lagi. Akan relevankah lagi UMNO untuk perjuangkan nasib orang melayu dikemudian hari. Dalam sibuk kita menangkis serangan dari pihak Pembangkang, masih ada wujud gunting dalam lipatan dikalangan parti komponen kita sendiri.
Interlok akan dilaksananakan dalam pembelajaran KOMSAS Tingkatan 5 tapi dengan sedikit pindaan. Ermm..hilang sudah keaslian sebuah karya agung seorang Sasterawan Negara. Apalah ertinya penganugerahan itu kepada beliau sekiranya karya beliau diubah suai dan dilaraskan kembali oleh orang orang yang buta seni dan buta sejarah. Salahkah beliau mengutarakan sejarah sebenar pembentukkan kaum utama di Malaysia ini? Apakah MIC masih belum jelas akan acuan 1Malaysia yang mahu dibina oleh Perdana Menteri? Sekiranya MIC sebagai satu komponen dalam Barisan masih kabur dan kurang faham, bagaimana pula rakyat mahu mendalami dan menghayati semangat 1 Malaysia itu sendiri?
Semakin hari semakin kerap kita ( UMNO ) melayan karenah karenah picisan ini. Serba serbi yang dituntut dan dipersoalkan, maka UMNO akan kelam kabut mempertahankan dan kemudian sedikit demi sedikit kendur pertahanannya maka mulalah mengkaji kaji yang mana hasilnya kelak, keputusan untuk beralah mula terbit. Kononnya atas alasan semangat permuafakatan. Adakah cuma kita sahaja orang Melayu yang perlu akur dan menghayati semangat permuafakatan ini.
Ayuh, cepat bangkit. Para pemimpin UMNO jangan tidur. Di peringkat bawahan ini akan marah dan jelak dengan sikap kita yang sering beralah. Kedua dua pihak akan dapat imbalannya. UMNO akan dilihat sebagai parti yang gagal untuk mempertahankan hak dan dasar orang orang Melayu maka di pihak parti komponen pula, undi dan kepercayaan orang Melayu akan mula terhakis ekoran berbulunya kita dengan sikap mereka yang diberi betis, mahukan peha. Sudah diberi peha, mahukan lebih lagi. Akhirnya habis semua jantung, limpa, hati dan macam macam lagi lah yang akan dituntut. Habis tu, apa lagi yang tinggal untuk anak bangsa dikemudian hari?
Salahkan penulis tersebut membicarakan hal yang sebenar tentang senario kebangsaan? Itu sejarah, dan sejarah tidak boleh di ubah. Apa yang perlu diubah agar sejarah itu tidak berulang. Dan kita tinggal dalam negara yang memahami erti sejarah yang sebenar. Kan ada pepatah mengatakan yang baik dijadikan tauladan dan yang jahat dijadikan sempadan. Akan ada fungsi guru yang akan membimbing pelajar untuk jelas dan faham apa yang diutarakan dalam penulisan tersebut.
Interlok ditulis 40 tahun dahulu, sekarang baru nak dipersoalkan semata mata dia dah jadi buku teks sekolah. Kenapa sebelum ini tidak diperkatakan? Dah lama berada dalam pasaran, dah ramai pun orang yang baca. Jangan lah diubah ubah hak orang, baik tolak terus penggunaanya daripada kita meminda minda karya orang lain. MIC boleh terbitkan buku lain yang lebih rasional serta logik mengutarakan konsep 1Malaysia bagi menggantikan Interlok. Baru kita akan tahu apa sebenarnya intipati dan mahunya mereka ini.
Dan UMNO, jangan berlembut sangat. Pilihanraya dah dekat, jangan kerana kita asyik berlembut, kelak akan menyebabkan undi orang Melayu lari ke tempat lain. Jangan kerana terlalu mengharap undi bukan melayu, kerana setakat hari ini, belum nampak ada usaha yang drastik komponen ke arah itu. Jangan dengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan..
No comments:
Post a Comment