Wang dipinjam dari ceti haram atau along hanya RM1,000, namun seorang
penjual kacang putih menanggung azab apabila diculik sebelum dibelasah
15 samseng yang diupah along yang dipercayai anggota kongsi gelap
terkenal Geng 04.
Mangsa yang ditemui di pejabat Pusat Khidmat
dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, di sini, semalam, berkata,
penderitaan itu bermula apabila dia berhutang RM1,000 dari seorang ceti
haram pada Oktober tahun lalu selepas menghadapi masalah perniagaan.
“Saya diugut untuk dicederakan selepas gagal melangsaikan hutang pada tempoh ditetapkan along berusia 20-an itu.
“Mereka mengekori saya setiap hari sebelum menculik saya di hadapan
sebuah bank di Sitiawan pada jam 7.30 malam, pada 4 Januari lalu,”
katanya.
Lebih menyeksakan apabila mangsa, S Mohan, 43, dipaksa berbogel
sebelum diarah menari di hadapan rumah ketua samseng terbabit jika tidak
mahu dibunuh.
Menurutnya, dia dipaksa menaiki sebuah kereta oleh lapan lelaki sebelum dibawa dan dikurung di sebuah bangunan.
“Seramai 15 lelaki termasuk beberapa belia yang menyertai kumpulan
kongsi gelap 04 muncul di premis itu tidak lama kemudian sebelum
membelasah saya beramai-ramai.
“Saya ditumbuk, ditendang dan
dipijak kumpulan samseng terbabit hingga lembik. Saya merayu supaya
dilepaskan namun mereka langsung tidak mengendahkan jeritan saya,”
katanya yang mendakwa dipukul hampir dua jam.
Dia dibawa pula ke sebuah rumah di Taman Acheh Jaya, Setiawan
sebelum dipaksa membuka baju dan menari di hadapan rumah milik seorang
ketua samseng Geng 04 itu.
“Mereka menjatuhkan maruah saya apabila merakam aksi saya itu menggunakan kamera video.
“Kumpulan samseng itu memaksa abang ipar saya membayar wang tebusan
RM20,000 yang didakwa ‘bunga’ dari wang dipinjam saya sebelum ini,”
katanya.
Mohan berkata, abang iparnya itu bagaimanapun tidak mampu menyediakan jumlah wang diminta kumpulan samseng itu.
“Saya dibebaskan samseng terbabit pada jam 7.30 petang keesokannya
sebelum dipaksa membayar wang RM20,000 dalam tempoh seminggu.
“Sebelum melepaskan saya, mereka mengugut akan membunuh isteri dan
menculik anak lelaki saya berusia 2 tahun jika saya gagal menyediakan
wang diminta,” katanya.
Akibat takut sesuatu buruk berlaku, dia bersama isteri dan anak melarikan diri dan bersembunyi di rumah kakaknya di Kedah.
“Kumpulan terbabit yang berang kerana gagal mendapatkan wang diminta
bertindak ganas memecah masuk rumah saya di Setiawan sebelum merampas
motosikal, peralatan rumah selain kereta Proton Iswara milik abang ipar
saya pada 18 Januari lalu.
“Kami sekeluarga menjadi mangsa
keganasan samseng along itu. Saya sekeluarga kini hidup bagaikan
pelarian apabila terpaksa berpindah-randah berikutan bimbang dibunuh
mereka,” katanya sambil menitiskan air mata.
Menurutnya, masalah itu sudah dilaporkan kepada polis di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh, pada 30 Januari lalu.
sumber : Harian Metro
No comments:
Post a Comment