Hari ini aku dapat suatu ilmu baru dari seorang ahli akademik yang mengupas frasa tersebut secara ilmiah. Katanya ungkapan yang selama ini diguna pakai bahawa pelaksanaan program – program Pemimpin Bersama Rakyat adalah tidak betul. Seharusnya pemimpin bersama masyarakat kerana dalam negara yang mengamalkan serta mendukung nas – nas demokrasi, pemimpin itu sendiri merupakan anggota yang terpilih dikalangan rakyat. Yang sebetulnya adalah Raja Bersama Rakyat bukannya pemimpin.
Bila dilihat dan dinilai kembali, ada kebenarannya. Kerana menurut beliau, apabila diklasifikasikan pemimpin bersama rakyat, mereka seolah olah sudah kita gazetkan sebagai raja kerana hanya raja yang mempunyai rakyat, sedangkan pemimpin dikelilingi masyarakat. Seolah olah selama ini masyarakat sendiri yang mengangkat darjat seseorang pemimpin itu seperti raja. Jadi kerana itu pemimpin hari ini dilihat semakin lama semakin bermaharajalela. Mereka tidak boleh dipersalahkan apabila mereka mula bersultan di mata beraja di hati.
Sebaik baiknya, kita ubah slogan yang diuar – uarkan selama ini. Sebagai ahli akademik, ada betulnya apa yang diperkatakan oleh beliau. Sebagai orang yang lebih berpengetahuan, lebih tinggi nilai ilmunya, tentulah teguran – teguran yang dibuat ada logik dan hujahnya. Kalau selama ini tersilap, tidak salah kita jadikan ini sebagai satu titik tolak membetulkan kenyataan. Sekurang kurangnya kita dilihat sebagai pemimpin yang menerima pandangan dan buah fikiran masyarakat persekitaran. Pemimpin bersama Rakyat atau Masyarakat? Jika pemimpin bersama rakyat, raja bersama siapa? Jika raja bersama rakyat, samakah taraf raja dan pemimpin pada hari ini? Tepuk dada tanya selera. Daulat Tuanku...
No comments:
Post a Comment