Monday, July 30, 2012

LAJIM UKIN DALAM KENANGAN


Datuk Seri Panglima Lajim Ukin, Janang Gayuh kaum Bisaya di Beauford, Sabah dengan jelas telah menunjukkan haluan politiknya menjelang Pilihanraya Umum Ke-13. Beliau tidak lagi akan berada dalam kapal Barisan Nasional (BN), sebaliknya akan bersama Pakatan Perubahan Sabah (PPS) yang ditubuhkannya bersama seorang lagi Ahli Parlimen yang meninggalkan BN, Datuk Wilfred Mojilip Bumburing. PPS hampir pasti akan bersekongkol dengan Pakatan Rakyat (PR) pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.


Itulah politik Lajim sebenarnya. Bermula daripada 1985 ketika memenangi kerusi DUN Klias, Beauford hinggalah semalam ketika mengumumkan perletakan jawatannya daripada beberapa jawatan penting BN dan UMNO, Lajim adalah tokoh politik Sabah yang tidak punya rasa setia kepada parti politik yang dianggotainya.
Mengenali Lajim sejak 1986 dan pernah menghasilkan buku biografinya ketika saya di Sabah, beliau dilihat seorang ahli politik opportunis yang sentiasa mengambil kesempatan yang menguntungkan dirinya sendiri, tanpa menghiraukan kepentingan partinya.
Lajim bertanding atas tiket PBS di DUN Klias pada 1985 setelah hasratnya untuk menjadi calon parti Berjaya dipandang sepi oleh Datuk Harris Salleh yang menjadi Presiden parti dan Ketua Menteri Sabah ketika itu. Beliau menang dan kemudiannya menjadi anak emas kepada Presiden PBS, Datuk Joseph Pairin Kitingan (kini Tan Sri).
Pairin mengangkat Lajim ke jawatan penting bermula daripada Pembantu Menteri hinggalah Menteri penuh dalam Kerajaan PBS.  Sepanjang di dalam Kerajaan PBS, Lajim bercita-cita besar untuk menjadi Timbalan Ketua Menteri yang mewakili kuota Bumiputera-Islam, tetapi hasrat beliau itu selalu dibayangi oleh seorang lagi anak emas Pairin, iaitu Datuk Bahrom Abu Bakar Titingan, pemimpin suku kaum Suluk dari Tawau. Kaum Suluk, yang hampir keseluruhannnya beragama Islam adalah suku kaum Bumiputera-Islam yang terbesar di Sabah, mengatasi kaum Bisaya.
Selepas Pilihanraya Negeri 1990, biarpun Bahrom tewas di Balung atas tiket PBS, tetapi Pairin masih melantiknya ke jawatan ADUN dan mengekalkan jawatannya selaku Timbalan Ketua Menteri  mewakili Bumiputera-Islam yang menyebabkan Lajim mengamuk semasa upacara angkat sumpah di Istana. Lajim ketika itu menang di Klias menewaskan calon USNO, Azizah Mohd Dun dengan majioriti 791 undi.
Sepanjang penguasaan PBS di Sabah, bukan rahsia lagi berlaku perebutan jawatan penting antara Lajim dan Bahrom bagi kuota Bumiputera-Islam, samalah keadaannya di antara Datuk Yong Teck Lee dan Datuk Chau Tet On bagi kuota kaum Cina. Dalam setiap kali pertandingan, kemenangan berpihak kepada Bahrom. Teck Lee pula berjaya menewaskan Tet On yang kemudiannya mengerakkan MCA di Sabah.
Lajim memendam rasa sejak sekian lama di dalam PBS, walaupun beliau memegang jawatan Menteri dalam kabinet Pairin. Sebaliknya Teck Lee bertindak menjelang Pilihanraya Negeri Sabah pada 1994 dengan meninggalkan PBS dan menubuhkan Parti Maju Sabah (SAPP). Tindakan Teck Lee itu agak menghairankan kerana beliaulah antara individu yang kuat mempengaruhi Pairin supaya membawa PBS keluar daripada BN menjelang Pilihanraya Umum 1990.
Lajim, walaupun menang sekali lagi kerusi DUN Klias dalam Pilihanraya Negeri 1994, telah mula menunjukkan reaksi untuk mengkhianati PBS dan Pairin. Bukan rahsia lagi ketika ADUN-ADUN PBS berkampung di Sri Gaya, kediaman rasmi Ketua Menteri dalam peristiwa di luar pintu pagar Istana sebaik selesai pilihanraya itu, Lajim sudah menghantar mesej mahu meninggalkan PBS dan melompat ke BN. Dalam pilihanraya tersebut, PBS menang tipis dengan 25 kerusi, berbanding 23 dimenangi BN.
Ketika itu Pairin menunggu dalam kereta di luar pintu pagar Istana selama 36 jam bersama penyokong-penyokong PBS untuk masuk mengangkat sumpah Ketua Menteri di hadapan Yang Di-Pertua Negeri Sabah ketika itu, Tun Haji Said Keruak. Lajim yang berada di Sri Gaya dalam keadaan ‘terkurung’ bersama ADUN-ADUN PBS yang lain berjaya meloloskan mesej untuk mengkhianati partinya itu yang menjadi antara sebab upacara angkat sumpah Ketua Menteri tertangguh.
Ketika itu, Lajim sudah merasakan bahawa keinginannya untuk menjadi Timbalan Ketua Menteri bagi kuota Bumiputera-Islam tidak akan kesampaian kerana anak Tun Mustapha, Datu Amirkahar juga turut menang di DUN Banggi atas tiket PBS. Jelas, Pairin melantik Amirkahar selaku Timbalan Ketua Menteri bagi kuota Bumiputera-Islam yang meningkatkan api kemarahan Lajim terhadap Pairin dan PBS.
Biarpun Pairin berjaya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, kekuasaannya tidaklah kekal lama apabila Lajim bertindak melompat ke parti UMNO bersama dengan ADUN Kemabong, Rubin Balang dan ADUN lantikan, Haji Zaini Md Isa.
Biarpun jasa Lajim dilihat begitu besar hingga menyebabkan peralihan kuasa daripada PBS kepada BN di Sabah, tetapi dia menyimpan cita-cita pula untuk menjadi pemimpin nombor satu Sabah, iaitu sebagai Ketua Menteri dalam sistem penggiliran jawatan itu yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad. Penggiliran pertama pastinya bukan milik beliau kerana Tun Sakaran Dandai lebih senior dan mempunyai hairaki kepimpinan yang lebih kanan dalam UMNO Sabah.  Selepas 11 bulan, atas faktor kesihatan, Tun Sakaran melepaskan jawatan itu tetapi kuota UMNO itu tidak singgah kepada Lajim, sebaliknya Datuk Salleh Tun Said Keruak dilantik.
Selepas Yong Teck Lee dan Tan Sri Bernard Giluk Dompok mengambil giliran bagi kuota Cina dan Bumiputera Bukan-Islam, jawatan itu tidak jatuh juga kepada Lajim, tetapi kepada Datuk Osu Sukam.  Selepas digilirkan kepada Dato’ Chong Kah Kiat, kemarahan Lajim semakin membuak-buak apabila jawatan idamannya itu jatuh pula ke tangan Datuk Musa Aman yang menjadi Ketua Menteri Sabah sejak Mac 2003 hingga sekarang.
Ketika ini Lajim mempersalahkan semua pihak. Baik Musa yang dilihat menjadi musuh ketatnya dalam politik Sabah, mahupun Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang diwar-warkan tidak akan mencalonkan lagi Lajim dalam Pilihanraya Umum akan datang.
Lajim tidak boleh menerima hakikat bahawa karier politiknya sudah sampai ke dinding.  Sikapnya yang tidak istiqamah kepada perjuangan parti sudah dapat dihidu sejak beberapa tahun lalu. Ugutan kepada pucuk pimpinan parti bukanlah cara yang baik bagi kelangsungan politik peribadi.
Lajim kini mahu mencari landasan lain untuk meneruskan kerier politiknya.  Bagi Lajim, sejak sekian lama hidup dan matinya adalah bergantung kepada politik. Selaku ahli politik opportunis, beliau sentiasa merangka langkah politik yang boleh menguntungkannya.
Perhitungan Lajim meninggalkan Berjaya dan bertanding atas tiket PBS terbukti mengena pada cita-cita politiknya apabila PBS menang dalam Pilihanraya Negeri 1985. Tindakannya meninggalkan PBS dan melompat ke UMNO juga ternyata mengena sehingga membolehkan BN mengambil alih pemerintahan Kerajaan Negeri Sabah dari PBS pada 1994 dan seterusnya menyambung nasib politik beliau.
Entah apalah perhitungan dan bacaan politik Lajim kali ini sehingga sanggup meninggalkan BN dan mahu bersekongkong pula dengan PR. Tetapi Lajim perlu akui pepatah Melayu akan tiba ke atas dirinya – sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.
Hari ini Kabinet akan membuat keputusan terhadap kedudukan Lajim, sebagaimana dinyatakan oleh Najib semalam. Setelah tokoh Bisaya itu mengumumkan perletakan pelbagai jawatannya dalam UMNO dan BN, apalah gunanya lagi beliau duduk di kerusi Timbalan Menteri Kerajaan Persekutuan. Apa gunanya juga beliau kekal menjadi ahli UMNO.
Pecatlah sahaja Lajim, kerana kaum Bisaya di Sabah selama ini menyokong Lajim bukan kerana dirinya, tetapi kerana parti yang diwakilinya. Lajim akan  menjadi seperti Yong Teck Lee, yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai paramount leader kepada kaum Cina di Sabah, tetapi akhirnya tersungkur dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Batu Sapi, Sandakan yang majoriti pengundinya di kalangan kaum tersebut di tangan seorang wanita yang tidak menonjol dalam arena politik Sabah.
Akan muncul Janang Gayuh yang baru bagi kaum Bisaya di Beauford. Lajim akan  menjadi kenangan dalam lipatan sejarah politik Sabah selepas PRU-13 nanti.
Sumber : WANGSA SETIA

2 comments:

Unknown said...

BILA NAK BELANJA TEH TARIK, BONUS DAH DAPAT BRO..

ASHAMSURI said...

hahaha..anywere, anytime bro..

A Point To Ponder

Sandwich  used to be served everyday in a hostel of 100 students. Out of 100 students 80 students complained to give different food / every ...