KUALA LUMPUR 15 Julai - Timbalan Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin menggambarkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)
tidak akan diadakan tahun depan.
Beliau berkata, tahun ini adalah masa yang terbaik untuk diadakan pilihan raya umum itu.
''Saya tak fikir ia akan berlangsung tahun depan. Wallahualam. Tak
tahulah Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak). Tetapi saya
beritahu yang terbaik adalah tahun ini.
''Jadi, kalau tahun ini sekarang sudah Julai, bulan puasa. Ada orang
tanya apakah bulan puasa nak diadakan pilihan raya? Saya kata, apa
salahnya?,'' ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan
perwakilan UMNO Bahagian Batu di Kompleks Darul Kifayah, Taman Koperasi
Polis Fasa II, di sini hari ini.
Menurutnya, tidak ada salahnya juga jika pilihan raya umum diadakan
pada Ogos iaitu ketika umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri dan
menyambut Hari Kebangsaan.
Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Badan Perhubungan UMNO
Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Ali Alhabshee dan Ketua UMNO Bahagian
Batu, Datuk Yahaya Mat Ghani.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, para pemimpin
Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO di semua peringkat juga perlu
bekerja keras bagi menambat hati pengundi sementara menunggu tarikh
pilihan raya umum diumumkan.
''Presiden parti (Datuk Seri Najib) juga tidak berhenti kerja siang
malam. Ingatlah, Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu adalah satu isyarat dan
amaran besar buat kita. Kalau tak berubah, ikut cara lama, malas dan tak
turun ke bawah, tak payah tanyalah bila mahu diadakan pilihan raya.
Sebab itu setiap hari Perdana Menteri turun padang. Rakyat ceritakan
masalah, kita tak boleh 'tutup telinga'.
''Kita adakan pelbagai program seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia
(BR1M). Kita bagi semua, tak tanya dia UMNO atau Pas atau DAP atau Parti
Keadilan Rakyat (PKR). Kemudiannya bantuan buku dan persekolahan, Kedai
Rakyat 1Malaysia, Kedai Kain Rakyat 1Malaysia. Orang kata ini kosmetik.
Bukan, ini serius. Semuanya untuk rakyat,'' jelasnya.
Katanya, tindakan Perdana Menteri yang selalu turun padang seharusnya
dicontohi oleh pemimpin-pemimpin lain di semua peringkat dalam parti.
''Selangor, Kedah kita kalah. Sebab itu kena bantu kembalikan semula
kepada BN. Dekati rakyat agar tidak ada yang terbiar,'' tegasnya.
Terdahulu pada majlis sama, beliau menyampaikan surat tawaran rumah
Projek Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada
12 penerima selain penyampaian peralatan keusahawanan untuk 69 penerima
di bawah Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (M3P) Batu.
Muhyiddin turut mengarahkan Yahaya membawa wakil penduduk Kampung
Medan Wira dan Kampung Chubadak Jaya di Batu untuk bertemu beliau bagi
membincangkan masalah yang dihadapi penduduk di kampung berkenaan.
Sumber : Utusan Malaysia
ASHAMSURI : Buat lah cepat Tan Sri..agar semua transformasi dan perkara perkara baik yang kerajaan dah buat untuk rakyat tu mereka masih kenang dan ingat. Lau dah sejuk, dan dah banyak lak perkara perkara yang tak baik keluar lepas ni, payah dah.
Apa nak tunggu tunggu lagi kan. Bila asyik bermain teka teki ni, kita rakyat pun dah mula malas nak amik pot. Bilik gerakan, jalinan rakyat dan segala macam persediaan dah lama kita buat, tapi PRU nye tak muncul muncul jugak. Makcik, Pakcik yang nak jadi jentera pun dah mula cemuih.
Kena ingat, PRU bukan batle untuk para kepimpinan aje. Ia perlu usahasama dengan semua pihak. Lau makcik pakcik kat kampung kampung tu dah berbulu, dan semangat mereka pun tak pelan pelan turun, sendiri mau ingat la..Aku tu mengingatkan aje, sebagai suara akar umbi.
No comments:
Post a Comment